USAH MENGALAH
Belum MENANG tidak bermakna KALAH. Tidak mendapat medal juga bukan bererti kalah. Sebarang kesilapan bakal berlaku. Tanpa sengaja atau dengan sengaja.
Tanpa sengaja bererti kesilapan itu datang tanpa diduga. Dengan sengaja bererti kesilapan itu berlaku atas kecuaian diri yang mungkin terleka. Banyak perkara boleh berlaku.
Inilah yang sering berlaku di dalam sesuatu kejohanan.
Namun, itulah pemula kejayaan asal sahaja telah diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Hasil yang terlihat adalah hasil dari apa yang telah DIUSAHAKAN.
Adakalanya, di kala kita sambil lewa, tuah mendatang. Adakalanya dalam kita bersungguh-sungguh dengan sehabis baik, namun belum direzekikan untuk menerima hasil yang diimpikan.
Adakalanya orang yang sambil lewa, berhak mendapat apa yang telah dicapainya. Adakalanya orang yang bersungguh-sungguh akan dapat kejayaan setimpal dengan apa yang telah diusahakan.
Yang penting, langkah pertama ialah USAH MENGALAH. Selain dari itu belajar untuk menyemak kembali dari awal sehingga akhir proses yang telah dilalui.
Pasti nanti terjumpa sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran atau pembetulan. Pada saya, ini sangat penting. Kerana apabila kita sentiasa ada sikap untuk memperbaiki sesuatu pasti hasilnya akan jauh lebih baik.
Sebenarnya, apabila kita kaji semula proses dari sebelum sesuatu perlawanan dan sehinggalah berakhirnya perlawanan, pasti kita akan temui sesuatu yang lebih baik dari yang sebelumnya.
Usah difikirkan kalah dan menang, namun lihatkan impak yang kita dapat dari kejohanan sebelumnya. Itulah kejayaan yang baik sebenarnya.
Untuk menambah kebaikan tersebut adalah lebih baik, buat catatan setiap kejohanan yang telah disertai. Begitu juga apa yang telah dilakukan setiap kali latihan, Semua perkara ini perlulah ditulis satu persatu dengan lengkap dan dibukukan.
Sehingga nanti, buku inilah menjadi rujukan di masa akan datang. Kejayaan akan dapat dilihat bila mana setiap perkara ada peningkatan. Kunci utama adalah konsisten berlatih tanpa mengenal erti jemu.
Seorang mentor saya berpesan, bawalah sebuah buku kecil ke mana sahaja anda pergi. Jika terlihat sesuatu, atau mendapat sesuatu ilmu yang baru atau pun idea, catatkanlah. Inilah sikap orang yang berjaya.
Selamat Maju Jaya buat semua atlet. Semoga anda peroleh sesuatu yang bernilai dari masa ke semasa. Teruskan berjuang tanpa jemu.
Didoakan, untuk semua pembaca agar impian anda semua tercapai. Amin.
#HypnoSport
#roadtochampion
#roadtoolimpic
Comments
Post a Comment